Sebetulnya, lama sebelum kedatangan pengaruh luar dan telunjuk moden, penduduk asal Melayu dan Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera serta kaum Bumiputra/Pribumi lain di Borneo dan bagian lain di alam Melayu telah mempunyai sistem perumahan yang canggih, cantik dan serasi dengan gaya hidup dan alam sekitar.
Manakala orang Melayu dan Orang Asli di Semenanjung, Sumatera dan pulau-pulau lain biasanya membina rumah sesebuah (ala banglo) yang didiami oleh sekeluarga besar; sesetengah suku-kaum di Borneo lebih gemar kepada konsep ‘rumah panjang’ yang memuatkan seluruh kampung! Yakni setiap keluarga menghuni satu bahagian seperti ‘apartment’ yang dideretkan sebelah-menyebelah, dengan anjung terbuka di hadapan (dipanggil ‘ruai’ di Sarawak) yang menyambungkan semua unit menjadi sebuah bangunan panjang.
Bahan binaan yang digunakan diambil dari sumber alam yang boleh diperbaharui, yakni pelbagai jenis kayu-kayan, juga buluh dan rotan hinggalah kepada daun-daun pelepah.
Kerangka atau struktur rumah pula menggunakan sistem tebuk-tembus dan pasak yang tidak memerlukan paku. Yakni pembinaan rumah papan Melayu sebenarnya ialah suatu sistem pasang-siap. Maka rumah itu boleh juga ‘ditanggal-buka’ dan di pasang semula di tempat lain, persis yang dibuat oleh Badan Warisan Malaysia untuk Rumah Penghulu Abu Seman, yang dipindahkan dari negeri Kedah ke Kuala Lumpur.
Selain itu, cara binaan tanpa paku juga membuatkan rumah lebih anjal (flexible), sehingga ianya boleh diangkat melalui ‘gotong-royong’ orangramai dan dialih tempat.
Walaupun rumah yang benar-benar tradisional tidak menggunakan sebatang paku pun, namun diakui bahawa bagi rumah kayu yang lebih baru, ada juga elemen bukan struktur seperti isian dinding yang memakai paku.
Dari sudut rekabentuk juga, rumah adat Melayu boleh dikatakan amat canggih dan memuatkan ciri-ciri bistari, lagi kena dengan gaya hidup selesa mengikut adat dan alam.
Ciri-ciri pintar ini termasuklah penyejukan atau pengudaraan semulajadi (natural ventilation), peneduhan (shading), keselamatan dan keamanan (safety and security) serta ‘kepersendirian’ (privacy).
Contohnya sifat paling ketara pada rumah tradisi Melayu ialah ianya didirikan atas tiang. Pelbagai kelebihan muncul dari ‘keterapungan’ ini; termasuklah mengelakkan dari mudah masuknya binatang liar, serta terangkat dari aras banjir. Rumah juga lebih sejuk akibat pengudaraan pada semua bahagian (dari atas, tepi-tepi dan bawah). Selain itu, ruang kosong di bawah rumah (juga disebut ‘polong’) menjadi tempat yang sesuai untuk menyimpan segala macam barang perkakas.
Rumah Melayu juga selalunya terbahagi dua bahagian: yang utama dipanggil ‘Rumah Ibu’ (sempena menghormati peranan ibu sebagai pengelola rumah dan penyeri keluarga), sementara bahagian kedua ialah ‘Rumah Dapur’. Pengasingan ini juga pintar – kebakaran selalunya terjadi dari api masakan; maka jika dapur terbakar, lebih mudah mengawal sebahagian tertentu seperti Rumah Dapur saja dan mengurangkan bahaya Rumah Ibu juga dijilat api dengan cepat.
Jika rumah perlu dibesarkan, struktur ‘Rumah Tengah’ pula boleh ditambah di antara Rumah Ibu dan Rumah Dapur.
Selain itu, selalunya di depan rumah mesti ada bahagian lantai yang lebih rendah dari aras Rumah Ibu. Ianya berbumbung tapi selalunya tak berdinding, cuma berpagar susur (railings). Ini dipanggil ‘serambi’, ataupun ‘selasar’ di setengah tempat di Pantai Timur. Ia menjadi tempat pengantara di antara luar dan dalam rumah untuk duduk bekerja, beristirehat atau menerima tetamu yang tak perlu masuk ke dalam Rumah Ibu, yakni tidak mengganggu keluarga.
Di belakang rumah pula ada ‘pelantar’ yang menjadi tempat kerja basah atau basuhan, yakni sama juga seperti konsep ‘ruang kerja’ atau ‘work area’ bagi apartmen dan rumah moden.
Rumah tradisi yang memang terangkat atas tiang bagi menambah pengudaraan itu juga ada pelbagai gaya tingkap, termasuk jenis tingkap sependiri seperti ‘French window’, guna untuk masuk angin dan cahaya.
Dengan adanya berbagai keping ukiran berlubang di dinding bukan saja sebagai perhiasan, tapi juga bagi menggalakkan udara dan cahaya masuk menceriakan rumah. Ukiran-ukiran pada rumah Melayu berunsur corak geometrik atau tumbuhan (tiada corak fauna hidupan kerana larangan agama), dan banyak yang amat halus pengukirannya.
Bahan penutup bumbung tradisi, yakni anyaman pelepah daun seperti nipah ataupun bumbung genting tanah liat seperti yang dipanggil genting ‘Senggora’ di Pantai Timur Semenanjung Melayu, juga memainkan peranan menyejukkan rumah. Malangnya sekarang ini kepingan zink lebih disukai-ramai kerana ianya murah dan senang dipasang, tapi menyebabkan rumah lebih berbahang dan bising pula semasa hujan.
Bumbung rumah Melayu sentiasa jenis condong untuk kesesuaian cuaca hujan panas tropika (tiada bumbung rata atau leper), dan ada dua kategori utama: gaya ‘bumbung panjang’ (atap pelana) dan keduanya ‘bumbung lima’ atau ‘limas’ (atap perisai). Bumbung panjang ialah jenis yang lebih mudah, yakni hanya satu perabung membentuk bukaan segitiga di kedua-dua hujung yang membenarkan pemasangan penutup tebar layar.
‘Bumbung lima’ ialah jenis yang ada lima perabung (atau juga empat perabung bagai piramid untuk struktur ringkas seperti pondok wakaf). Lebih canggih lagi, ‘bumbung lima’ ini ditambah struktur segitiga di atasnya lalu dipanggil ‘limas’ (dari ‘lima emas’ karena suatu masa dulu hanya rumah orang berada atau pembesar yang berbumbung limas, dan mungkin mula digunakan semasa Kesultanan Johor-Riau).
Dua-dua jenis bumbung ini boleh melahirkan apa jua kombinasi bentuk bumbung yang boleh difikirkan, dan ada tempat yang mempunyai corak bumbung tersendiri seperti bumbung rumah Minangkabau Negeri Sembilan (yakni sejenis bezaan ‘bumbung panjang’). Bumbung rumah tradisi juga pasti ada unjuran (emper/overhangs) untuk teduh dari panas dan hujan lebat. Sepanjang tepian hujung bumbung pula selalu dipasang cucur atap atau 'papan cantik' berukir.
Sesetengah rumah pula ada bilik di dalam rongga bumbung (iaitu seperti ‘attic’, kadangkala dipanggil ‘loteng’ atau ‘lenting’), hatta membuat rumah yang sedia terangkat atas tiang itu menjadi rumah tiga tingkat. Malahan telah ada istana kayu lama yang dibina setinggi lima atau enam tingkat, dengan struktur tanpa sebarang paku pun. Satu contoh indah ialah Istana Seri Menanti di Negeri Sembilan, Malaysia selain juga di Sumatera, Borneo dan Tanah Bugis, Sulawesi.
Malangnya, bangunan sehebat manapun dari bahan organik seperti kayu tidak tahan jika tidak disenggara rapi. Maka warisan rumah papan ini akan pupus tanpa adanya pembinaan rumah asli baru, lebih lagi jika ilmu senibinanya juga hilang dari kalangan orang Melayu.
Kebanyakan arsitek/jurubina tempatan, dalam menimba dan mengejar senibina ala Barat, tidak mengendahkan lagi ilmu binaan tradisi. Sedangkan ilmu senibina lama masih mampu dikaji untuk memberi penyelesaian atau dimajukan lagi buat kesesuaian hidup gayakini.


Leave a Reply

comment.....?

MY SUPERB, AMAZED, MARVELOUS ECE SUPPORT......


ShoutMix chat widget